Monday 25 February 2013

Ulama Pondok Zahirkan Peranan


SAMBUTAN para ulama dan tok guru pondok Kedah terhadap Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM) sejak akhir-akhir ini cukup memberangsangkan. Ekoran perjumpaan mereka dengan Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Penaung YPPM, di Alor Setar tiga minggu lalu, beberapa program susulan diadakan.

Bagi memenuhi aspirasi dan semangat mereka yang mahu bergiat aktif dalam menjunjung visi dan misi YPPM, saya dan Lembaga Pengarah bersetuju melantik Tuan Guru Hj Sobri Othman, pengasas/pengetua Madrasah Al-Ulum Ad-Diniah Al-Usmaniah di Jitra, sebagai Penyelaras YPPM Kedah untuk tempoh dua tahun berkuat kuasa 16 Februari. Beliau dan AJKnya bertanggungjawab mengatur dan melaksanakan aktiviti YPPM, khususnya menyalur maklumat dan memberi penerangan pelbagai isu bertujuan menjamaahkan pondok-pondok seluruh Kedah.

Minggu lalu, saya hadir pada majlis pertama anjuran YPPM Kedah. Majlis Ijtimak Guru-Guru Pondok, Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa), Guru Takmir dan Imam Daerah Baling 2013 berjaya diadakan di Masjid Kampung Tok Kaya, Baling dihadiri sekitar 300 peserta. Turut hadir ialah Mustasyar YPPM Datuk Paduka Sheikh Hasbullah Abdul Halim, mantan Mufti Kedah.

Dalam ucapan perasmian, saya menekankan perlunya suara ulama pondok diberi ruang dan perhatian. Sebagai golongan berilmu, memiliki kepakaran dalam disiplin duniawi dan ukhrawi, pandangan mereka dalam pelbagai isu semasa perlu diberi tempat sewajarnya terutama bagi merungkai kemelut dan kekeliruan yang dihadapi umat Islam. Dalam hal ini, YPPM boleh berperanan menyatukan pandangan dan buah fikiran ulama pondok agar dimanfaatkan oleh pemimpin (umara) dan orang ramai.

Tiga hari lalu, Tuan Guru Hj Sobri mempengerusikan perjumpaan Pengerusi YPPM Hj Juhaidi Yean Abdullah dan Sheikh Hasbullah dengan sekumpulan ulama dan tok guru Kedah dan Kelantan, termasuk Pondok Tanjung Kapur, Pondok Bukit Gajah Teriak, Pondok Buluh Nipis, Pondok Haji Awang dan Pondok Telaga Batu (kesemuanya di Jitra), Pondok Kobah dan Pondok Chegar di Pendang, Pondok Takribul dan Pondok Parit Panjang di Mengkuang, Pondok Tunjang, dan Pondok Geting di Tumpat.
Perjumpaan tiga jam itu diadakan di Pertubuhan Mujamma Ibnu Sunni Litalaqqi (Mustaq), Kampung Bukit Jagung, Pendang yang diasaskan ulama pondok terkenal, Tuan Guru Hj Abdul Rahim Abdul Rahman, yang juga pakar masak nasi daging. Beliau berharap lebih banyak pertemuan dapat diadakan bagi mengukuhkan jamaah pondok dan institusi pengajiannya atas kepentingan agama dan umat yang berpegang kepada Ahli Sunnah wal Jamaah.

Tuan-tuan guru pondok yang hadir memberi sokongan padu kepada usaha YPPM, yang kata mereka walaupun masih baru tetapi telah banyak membawa kebaikan. Tidak rela agenda agama disabotaj parti politik dan pihak yang tidak sepatutnya bercakap soal Islam, mereka berikrar membantu kerajaan menangani ancaman yang sedang menular termasuk ajaran sesat, Syiah, penyelewengan akidah, liberalisme dan pluralisme serta mempertahankan maruah Islam agar tidak diperkotak-katik mana-mana pihak seperti dalam kes penggunaan kalimah ALLAH oleh bukan Islam.

Mereka juga mencadangkan YPPM menganjurkan satu ijtimak membabitkan ulama pondok Nusantara (Malaysia, Indonesia, Singapura, Thailand, Filipina, dan Kemboja) untuk gembleng tenaga pemikiran, mengumpul hujah dan mendapat kata sepakat dalam isu-isu penting berkaitan agama dan umat. Insya-Allah, cadangan ini akan segera dipertimbangkan oleh YPPM.

logo

[di copy-paste dari http://pondok1msia.org.my/ulama-pondok-zahirkan-peranan/#.USwcP6VA1c4]

Alhamdulillah dan Insyaallah,  institusi pondok akan menjadi semakin kuat dan mantap, terutama setelah diwujudkan Yayasan Pembangunan Pondok 1Malaysia. Mudah-mudahan Allah mengembang dan menyebarluaskan lagi institusi pondok ke seluruh tanah air, sehingga lahirlah semula generasi Ulama' yang Haq dengan banyaknya bagi menguatkan tugas amar makruf dan nahi mungkar. Semoga dengannya, akan terbenteraslah segala bentuk kemaksiatan dan terhapuslah segala macam kebatilan, terutama yang mengancam aqidah haq Ahlus Sunnah wal Jamaah.

Kita berdoa semoga Allah memberkati dan melimpah ruahkan rahmat-Nya dan bantuan-Nya dan petunjuk-Nya dan taufiq-Nya dan keampunan-Nya kepada kerajaan yang memerintah dan negara Malaysia yang tercinta ini. Serta  dikekalkan keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan kepada bumi bertuah ini. Amin.

No comments:

Post a Comment