Sunday, 17 February 2013

Tahalluf Siyasi versi PAS dan UMNO

PAS menyandarkan kerjasama politik mereka dengan PKR dan DAP atas nama Tahalluf Siyasi. 

Merujuk kepada
http://kias.edu.my/tahalufsiasi08.htm,

'Tahaluf Siyasi membawa makna kerjasama harakah Islam dengan mana-mana pergerakan lain yang tidak bermatlamatkan Islam di dalam perjuangannya. Kerjasama ini boleh terjadi di dalam apa jua bidang yang dipersetujui bersama untuk sama-sama menghadapi musuh yang sama. Tahaluf Siyasi juga kemungkinan boleh berlaku dengan gerakan yang pernah atau berpotensi untuk menentang ideologi harakah Islam. Dalam suasana hari ini, tahaluf siyasi yang dimaksudkan juga termasuk kerjasama dengan golongan bukan Islam untuk menghadapi musuh yang sama.'


Hukum bertahaluf siyasi ini, ada ulama' mengatakan haram seperti Sheikh Muhammad Qutb dan al-Syeikh al-Imam Abu Nasr Muhammad bin Abdullah . Ada pula Ulama' mengatakan harus, seperti Dr Yusuf al-Qaradhawi , Dr Mustoffa al-Tohhan , al-Syeikh Muhammad Ahmad al-Rasyid , Doktor Solah al-Showi dan Doktor Munir Ghahdban .

Yang dapat difahami melalui sejarah, secara umumnya Nabi bertahaluf dengan golongan kafir yang zimmi seperti yahudi, bani Khaza'ah (yang sebahagiannya juga adalah orang Islam) dan individu seperti Abu Talib dan Mut'im bin Adi. Ini bertujuan untuk berhadapan dengan golongan kafir harbi yang bertujuan untuk menghancurkan Islam.

Sedangkan didalam konteks BN vs. PR, PAS bertahaluf dengan PKR dengan DAP untuk menentang BN yang dikuasai oleh parti orang Islam UMNO. Sezalim manapun UMNO, katakan, seperti yang didakwa oleh PAS/PR, UMNO tetap orang-orang Islam yang merupakan ahli kiblat (kecuali jika amanat Hj Hadi menjadi pegangan mereka, maka UMNO dianggap kafir). Maka bagaimanakah konsep tahaluf ini boleh teraplikasi dalam hal menentang orang-orang Islam sendiri.

Kemudiannya, dipersoalkan juga, adakah PKR dan DAP lebih baik 'Islam'nya jika dibandingkan dengan UMNO? Bukankah DAP secara terang-terangan mempunyai dasar yang merugikan Islam dan ummat Islam di negara ini? Mengikut syarat bertahaluf  (seperti didalam artikel diatas), 

'...menjadi satu keharusan jamaah Islam untuk mendapat perlindungan (atau bantuan) daripada orang yang bukan Islam demi mencapai matlamat perjuangannya. Namun ia tidaklah sampai kepada peringkat tunduk dan patuh sehingga menggadaikan perjuangannya.' 

Bukankah telah nyata kepada kita bahawa PAS sendiri merupakan parti minoriti didalam PR, dan jelas bahawa banyak isu-isu semasa menunjukkan ketundukan PAS terhadap kehendak DAP? Bukankah maknanya ini telah melanggar syarat tahaluf?

Manakala kerjasama UMNO-MCA-MIC selama ini telah dicerca oleh PAS dengan mengatakan haramnya bekerjasama dengan parti kafir dan seumpamanya. Mengapa PAS tidak bersangka baik dan melihat kerjasama UMNO-MCA-MIC juga merupakan tahaluf siyasi yang diijtihadkan oleh ulama' harakah yang menyokong UMNO? Mengapa apabila UMNO bertahaluf dengan MCA/MIC, fatwa haram diambil, manakala bila PAS bertahaluf dengan PKR/DAP, fatwa harus pula yang diambil? Mengapa wujud double standard dalam hal ini? Kalau bukan kerana sebab politik?

Dan jelas bahawa UMNO merupakan parti tunjang didalam Barisan Nasional, dan isu-isu yang menyentuh kepentingan Islam dan ummat Islam berjaya dipertahankan oleh UMNO selama ini. Kedominanan UMNO didalam BN adalah jelas, tidak seperti PR yang dominannya ialah DAP dan PKR berbanding PAS.

Oleh kerana lemahnya PAS didalam PR inilah, menyebabkan ramai tokoh-tokoh PAS dan gerakan Islam lainnya berpendapat tahaluf siyasi didalam PR ini haruslah dihentikan, kerana ia jelas merugikan Islam dan ummat Islam di Malaysia.

Pandangan al-Fadhil Ustaz Faiz Hafizohullah mengenai tahalluf siyasi PAS, sebagaimana yang dirujuk kepada pandangan Syaikh Abdul Qadir Mandili mengenai politik Islam:





Pandangan ISMA terhadap tahalluf siyasi PAS:




Ustaz Nasharudin ialah diantara mereka yang bertanggungjawab didalam memulakan perbincangan mengenai  tahalluf siyasi ini dengan para ulama' harakah yang terkenal...



Namun setelah beberapa tempoh, Ustaz Nasharudin melihat bahawa banyak syarat-syarat tahalluf telah dilanggar oleh parti PAS. Diantaranya, jangan mudah PAS melunturkan dasar-dasar Islamnya, dan jangan dibuka ruang kepada pihak yang 'ditahalluf' untuk mereka 'mengusik' atau 'mencubit' Islam. Malangnya, perkara-perkara ini telah berlaku. Oleh itu Ustaz Nasharudin menyarankan agar tahalluf dengan PKR-DAP ini harus di kaji semula.


Malangnya, atas sebab teguran Ustaz Nasharudin dalam isu tahalluf ini (dan isu-isu lain seperti kerajaan perpaduan), akhirnya Ustaz Nasharudin telah dipecat dari majlis Syura PAS, walaupun pemecatan beliau atas alasan yang lain seperti yang dikatakan oleh pimpinan PAS.

Kesimpulannya, 'tahaluf siyasi' UMNO-MCA-MIC dan perti komponen BN lainnya adalah lebih selamat dan menguntungkan dan berupaya untuk memelihara kepentingan Islam dan ummat Islam di Malaysia kerana kedominanan UMNO  didalam BN.  Manakala tahaluf PAS-PKR-DAP adalah sangat meragukan dan berpotensi merugikan Islam dan ummat Islam kerana lemahnya PAS didalam kerjasama ini dan dominannya DAP dan PKR mengatasi PAS didalam PR.


No comments:

Post a Comment